18000 Kuala Krai, Kelantan | Tel/Fax: 09-9665195

08 Julai, 2012

Program Mahasiswa: Upsi, UiTM gabung tenaga


KUALA KRAI - Program Pemimpin Mahasiswa Ke Desa melibatkan 13 sekolah kebangsaan di daerah ini melakar sejarah tersendiri apabila menggabungkan dua institusi pengajian tinggi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Gabungan dua universiti itu bertambah kukuh apabila program turut mendapat kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Krai; Majlis Guru Besar (MGB) daerah ini dan Biro Tata Negara (BTN).

Berlangsung selama tiga hari dua malam sebelum majlis penutup di Sekolah Kebangsaan (SK) Peria, dekat sini, semalam, seramai 150 pemimpin mahasiswa dari UPSI dan UiTM ditempatkan bersama bersama 80 keluarga angkat.

Lebih menarik, semua mahasiswa terlibat diberi tugas mengajar anak kepada keluarga angkat mereka yang belajar di Tahun Enam dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September ini.


Objektif utama

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Paduka Dr Junaidi Abu Bakar berkata, matlamat utama program adalah untuk merealisasikan sasaran PPD Kuala Krai mencapai 480 murid mendapat 5A pada USPR tahun ini.

Menerusi aktiviti diatur sepanjang program katanya, murid Tahun Enam terbabit didedahkan dengan kemahiran berkaitan teknik serta kaedah pembelajaran oleh mahasiswa berkenaan.

“Bagi aktiviti di rumah keluarga angkat, kita bekalkan murid terbabit dengan soalan UPSR untuk lima tahun lepas bagi ujian latih tubi dengan bantuan abang dan kakak angkat mereka.

“Ada juga motivasi di tiga ‘stesen’ program iaitu di SK Temalir, SK Lata Rek dan SK Peria yang mana saya turut berpeluang berjumpa dengan murid dan ibu bapa,” katanya selepas majlis penutup program itu, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM cawangan Kelantan, Prof Madya Zulkarnain Yusoff; Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat UPSI, Dr Zulkiflee Yaakob dan Pegawai Pelajaran Daerah, Anuar Mamat.


Matlamat lain

Menurut Junaidi, tujuan lain program melibatkan 12 sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di daerah ini itu adalah mendedahkan mahasiswa terlibat kepada kehidupan masyarakat luar bandar.

“Program juga dapat rapatkan hubungan mahasiswa dengan keluarga angkat terutama dalam kalangan keluarga miskin, sekali gus memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan demi masa depan anak-anak mereka.

“Semua sekolah terlibat juga dapat menjalin interaksi antara satu sama lain selepas masing-masing mengadakan program kecemerlangan sendiri sebelum ini,” katanya.


Yakin capai matlamat

Sementara itu, Anuar menyifatkan program tersebut sebagai amat bagus terutama apabila dapat menggabungkan dua universiti serta pemilihan pemimpin mahasiswa terbaik sebagai peserta.

Menurutnya, PPD Kuala Krai menyasarkan seramai 480 murid mendapat keputusan 5A pada UPSR tahun ini, iaitu kecemerlangan dan lonjakan berganda berbanding 155 orang pada tahun lalu.

Katanya, berdasarkan peningkatan keputusan dua Ujian Penilaian Bulanan (UPB) serta program kecemerlangan seperti dianjurkan UPSI bersama UiTM itu, beliau yakin sasaran tersebut ada potensi untuk dicapai.

“Sekurang-kurangnya 80 murid terlibat dengan program ini sudah termasuk dalam senarai murid sasaran PPD Kuala Krai untuk capai 5A pada UPSR 2012.

“Saya juga yakin dengan keupayaan mahasiswa terlibat kerana mereka ditemuduga terlebih dahulu dan dipilih dalam kalangan mahasiswa yang cemerlang akademik serta layak bantu calon UPSR,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anuar berkata, pihaknya sentiasa bersikap terbuka dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin mengadakan program di daerah ini asalkan bertujuan untuk kecemerlangan pendidikan.

“Asalkan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar di daerah ini, PPD Kuala Krai tidak ada masalah dan mungkin selepas ini, kita buat pula program sama untuk calon PMR (Pencapaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.


Bangga jadi peserta

Dalam pada itu, penduduk Kampung Budi, Sidek Muhammad, 46, pula melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada semua pihak terutama UPSI kerana menganjurkan program berkenaan.

“Sebelum ini, dalam UPB anak saya, Nazmi hanya dapat 2A dan saya harap dengan apa yang dipelajari daripada kakak angkatnya, dia akan dapat 5A dalam peperiksaan sebenar nanti.

“Walaupun hanya dua hari, kehadiran dua anak angkat di rumah saya sangat berharga,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan