18000 Kuala Krai, Kelantan | Tel/Fax: 09-9665195

06 Februari, 2011

Prasekolah


Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak dengan asas sosialisasi yang kukuh sebelum mendapat pendidikan formal. Kurikulum prasekolah Kebangsaan (KPK) membolehkan kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas memperoleh asas yang kukuh dalam komunikasi, sosial dan kemahiran-kemahiran lain sebagai persediaan ke sekolah rendah. Ini bersesuaian dengan hasrat falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk memberi asas kepada pembangunan dan perkembangan domain kognitif, afektif dan psikomotor.

Bagi meningkatkan akses pendidikan prasekolah kepada semua kanak-kanak tidak mengira kaum dan agama terutamanya di kawasan luar bandar, KPM telah memperluaskan program prasekolah ke sekolah kebangsaan Cina dan Tamil secara berperingkat dengan pertambahan kelas dan guru yang terlatih untuk mengajar di kelas-kelas tersebut, selain menyediakan kelas prasekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas pendengaran dan penglihatan.

Dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah, KPM telah menyediakan garis panduan yang membenarkan fleksibiliti pendekatan pengajaran dan pembelajaran dan penggunaan bahasa pengantar.

Kementerian juga telah menggubal Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dalam tahun 2003. Dengan adanya kurikulum ini, semua kelas prasekolah sama ada anjuran KPM, agensi kerajaan seperti kemas, Jabatan Perpaduan Negara dan juga kelas-kelas anjuran pihak swasta digalak untuk menggunakan kurikulum ini.

Disamping Kurikulum Kebangsaan, Kementerian juga membekalkan buku Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Prasekolah kepada guru-guru prasekolah.

Garis Panduan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan menekankan sembilan bidang pengalaman yang dijadikan asas perkembangan kanak-kanak, antaranya termasuklah pendidikan ketatanegaraan, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan kerohanian, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Perkembangan Fizikal Murid. Pada peringkat ini, guru-guru menggunakan pelbagai pendekatan terutamanya bermain sambil belajar disamping pendekatan bersepadu dan bertema.

Secara keseluruhannya, fokus pendidikan prasekolah adalah meliputi proses sosialisasi, perkembangan sahsiah dan persediaan ke sekolah rendah. Melalui kurikulum Prasekolah Kebangsaan, perkembangan murid akan dicapai melalui enam komponen pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu. Komponen tersebut adalah seperti berikut :-
  • Bahasa dan Komunikasi
  • Perkembangan Kognitif
  • Kerohanian dan Moral
  • Perkembangan sosioemosi
  • Perkembangan Fizikal
  • Kreativiti dan Estetika

Tiada ulasan:

Catat Ulasan