18000 Kuala Krai, Kelantan | Tel/Fax: 09-9665195

24 September, 2010

Panduan ulang kaji menjelang peperiksaan UPSR

RENCANA hari ini khusus buat tatapan adik-adik yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Diperlihatkan satu jadual yang memuatkan aktiviti pembelajaran siang dan malam sebagai panduan adik-adik mengulangkaji lima mata pelajaran selama 30 hari sebelum peperiksaan bermula pada awal September.

Jadual ulang kaji ini hanya suatu contoh atau cadangan. Dengan yang demikian, anda boleh gunakan sepenuhnya atau gunakan sebahagian, atau membuat penyesuaiann yang seperlunya.

Jadual ulang kaji ini hanya suatu contoh atau cadangan. Dengan yang demikian, anda boleh gunakan sepenuhnya atau gunakan sebahagian, atau membuat penyesuaiann yang seperlunya.

Apa yang saya harapkan, anda mesti memperuntukkan masa sehingga tujuh jam siang dan malam untuk membaca, mengingat dan menguasai di samping membuat latihan pengiraan dan penulisan.

Kepada ibu bapa dan sanak saudara, saya percaya sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak belajar menurut jadual ulang kaji cadangan ini atau jadual lain yang disenangi demi kecemerlangan dalam UPSR akan datang.

Baiklah, jadual ulang kaji UPSR ini menggunakan masa dari pukul 8 hingga pukul 5 petang dan dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.15 malam. Jangka masa ulang kaji, 30 hari.

SECEBIS NASIHAT

Adik-adik tentu mahu mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR? Syabas.

Nah, kalau anda ingin berjaya dengan cemerlang dalam UPSR, anda mesti belajar dengan penuh minat, tekun, sabar dan takwa. Minat, tekun dan sabar termasuk dalam pengertian motivasi diri. Takwa pula bermaksud bahawa anda (ibu bapa dan saudara mara anda) mesti mengerjakan solat dan sentiasa berdoa demi kesejahteraan dan kecemerlangan.

Badan anda perlu sihat supaya otak anda cerdas dan perasaan anda ceria. Makanan dan minuman perlu segar, bersih, halal, berzat dan dimasak supaya badan dan otak sihat sentiasa.

Kalau anda lulus dengan baik (sekurang-kurangnya 3A 2B), ibu bapa anda, guru-guru anda, kawan-kawan dan sanak saudara semuanya turut bergembira. Malah anda akan belajar di sekolah menengah dalam tingaktan satu yang baik. Apatah lagi kalau anda lulus dengan cemerlang (kelima-lima subjek dapat A).

Untuk cemerlang dalam peperiksaan anda mesti memaham, mengingat dan menguasai beratus-ratus topik, isi, rajah, jadual, rumus, angka dan sebagainya.

Oleh sebab itu, anda mesti menggunakan jadual belajar yang khusus sebagai panduan untuk membahagi masa yang seimbang.

Kalau anda belajar di dalam bilik darjah bersama kawan pada sebelah siang, anda hendaklah mengulang kaji pada waktu yang tidak belajar di sekolah sama ada waktu pagi atau waktu petang. Atau, anda menumpukan masa untuk ulang kaji pada sebelah malam.

Apa yang penting anda mesti mengutamakan masa untuk mengulang kaji lima subjek selama 30 hari ini.

Mudah-mudahan anda semakin menguasai setiap topik, fakta, bahasa, rajah, angka dan sebagainya.

Seperkara lagi yang mesti sentiasa diingat, bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Semasa mengulangkaji ini, ada kalanya anda terpaksa kurangkan makan, kurangkan bermain, kurangkan menonton televisyen atau kurangkan tidur.

Hanya dengan pengorbanan, iaitu kesanggupan anda untuk belajar dengan tekun, sabar dan takwa, akhirnya nanti akan mendatangkan kejayaan yang diimpikan, iaitu mendapat 5A.

AKTIVITI ULANG KAJI 30 HARI

Jadual ulang kaji cadangan ini meliputi aktiviti 30 hari, dari 1 Ogos.

Masa satu subjek satu jam.

Jangka masa: Sebelah siang dari 8 pagi hingga 12.30 tengahari.

Petang: Dari 3 petang hingga 5.15 petang.

Malam: Dari 8 hingga 11.15 malam.

Untuk mengelakkan daripada letih dan tenaga mengantuk, setiap 20 minit ulang kaji anda hendaklah minum air masak sehingga empat teguk, kemudian berjalan ke tingkat dan bernafas panjang-panjang serta menghembuskannya secara perlahan-lahan sebanyak lima kali.

Anda hendaklah membaca lima buku teks yang diperaku oleh Kementerian Pendidikan bagi semua subjek.

Untuk latihan menjawab soalan aneka pilihan (objektif), anda bolehlah menggunakan buku-buku panduan yang ditulis atau disusun oleh penulis yang berwibawa dan diterbitkan oleh penerbit yang terkenal.

Perlu diingat, untuk memaham atau mengingat topik dan maklumat tertentu, anda mungkin perlu mengulang kaji topik yang sama sehingga sepuluh kali.

Ini perkara biasa adik-adik.

Kalau adik belajar menunggang basikal pun, anda perlu beberapa kali belajar sebelum pandai berkayuh.

Setiap kali hendak ulang kaji dan menjawab soalan peperiksaan, bagi murid beragama Islam, baca dahulu

Bissmillahhirrahmanirrahim

dan doa belajar, misalnya:

Rabbisyrah li syadri wa yassir li amri wahlul uqdatan millisani yafqahu qauli

atau doa ini:

Allahumma akhirijna minzulumatilwahmi wa akrimna binurilfahmi waftah alaina bimakrifatika wa sahhillana abwaba fadlika ya arhamarrahimin, dan sebagainya.

Ingat, semasa membaca untuk ulang kaji anda mesti berusaha memaham, mengingat, menghafal dan menguasai isi, perhendaharaan kata (bahasa Melayu/bahasa Inggeris), rajah, jalan pengiraan, ejaan tempat/orang/benda, tarikh, gambar, tanda baca, simbol, rumus dan tatabahasa.


Jadual Belajar Bestari
1 - 30 Ogos
8 - 9 pagi bahasa Melayu Kefahaman
9 - 10 pagi bahasa Melayu Penulisan dan tulis sebuah karangan
10.30 - 11.30 pagi Matematik, misalnya nombor bulat dan operasi
11.30 pagi - 12.30 tengahari Sains, misalnya Alam Kehidupan
12.30 - 3 petang makan/solat Zohor/rehat/tidur siang
3 - 4 petang latihan mengeja nama tempat/nama orang/nama benda, dan latihan melukis gambar rajah sains
4 - 5 petang latihan menjawab contoh kertas soalan, misalnya Matematik daripada buku latihan oleh penyusun/penerbit ternama. Kemudian semak jawapan daripada contoh jawapan. Sebaik-baik latihan ini diperiksa oleh ibu bapa atau sanak saudara yang prihatin
6.30 - 6.45 petang mandi
7 - 7.25 petang makan malam. Makan pada waktu begini baik diamalkan sebab anda boleh khusuk melakukan solat Maghrib dan semasa belajar sejam kemudian anda tidak mudah mengantuk disebabkan makanan sudah hadam
7.25 - 7.45 malam solat Maghrib
8 - 8.30 malam mengikuti siaran berita daripada televisyen atau radio dan cuba contohi cara betul menyebut perkataan, nama orang, nama tempat, dan pembinaan ayat
8.30 - 9 malam rehat/solat Isya
9 - 10 malam bahasa Inggeris. Bagi perkataan, pastikan anda menghafal ejaan, ejaan, makna, selok-belok bahasa serta tatabahasa
10 - 11 malam latihan menjawab contoh kertas soalan, misalnya Sains
11.30 malam - 6 pagi tidur

Demikianlah contoh aktiviti ulang kaji bagi lima subjek pada sebelah siang dan malam.

Anda lakukan ulang kaji setiap hari dan malam dari 1 hingga 30 Ogos menurut mata pelajaran yang dicadangkan.

Perubahan pada topik-topik setiap mata pelajaran sehingga faham dan ingat.

Jika anda mengulang kaji setiap topik dan kandungannya dengan bergilir dan seimbang, Insya-Allah anda semakin menguasai setiap isi, rajah dan maklumat yang penting untuk peperiksaan.

Bagi latihan menjawab contoh kertas soalan lima mata pelajaran yang disediakan oleh penulis/penerbit ternama, bolehlah anda lakukan secara bergilir pada sebelah petang (4 - 5 petang) dan pada sebelam malam (10 - 11 malam).

Ini bermakna latihan menjawab daripada contoh-contoh kertas soalan itu berjumlah sebanyak dua mata pelajaran setiap hari dan malam. Bagi lima mata pelajaran, anda perlukan dua hari setengah.

Bermakna, satu minggu anda dapat menyelesaikan dua set contoh kertas soalan subjek tertentu.

Untuk latihan penulisan karangan/melengkapkan teks bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula, jika mematuhi jadual ulang kaji ini, anda dapat menyelesaikan tujuh karangan/melengkapkan teks setiap minggu bagi setiap mata pelajaran.

Tujuh karangan itu hendaklah yang berbentuk surat kiriman, laporan, rencana, ucapan, dialog, perbahasan dan sebagainya sebagaimana yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran.

Selamat mengulangkaji. Mudah-mudahan anda lulus UPSR dengan cemerlang.
Sedutan dari artikel Dr. Sulaiman Masri (konsultan kemahiran media komunikasi dan cemerlang peperiksaan) dalam Utusan Malaysia 30/7/98

Tiada ulasan:

Catat Ulasan