18000 Kuala Krai, Kelantan | Tel/Fax: 09-9665195

05 Julai, 2012

UNIFI : PERKHIDMATAN JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI (HSBB) GENERASI AKAN DATANG

Telekom Malaysia Bhd. (TM) menyasarkan 750,000 premis akan dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar UniFi pada penghujung tahun ini melalui pakej yang ditawarkan serendah RM149.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan kejayaan TM melengkapkan 311,000 premis pada masa ini. Sebelum ini, TM menyasarkan untuk melengkapkan pemasangan 300,000 premis menjelang akhir Mac, tetapi ia telahpun melebihi sasaran. Menjelang 2012, TM berharap sebanyak 1.3 juta premis akan dilengkapi dengan kemudahan tersebut.
UniFi
UniFi merupakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) generasi akan datang yang dilancarkan 25 Mac 2010 untuk memberikan pengalaman kepada para pengguna menikmati talian premium pada harga yang mampu dimiliki. UniFi memberikan akses kelajuan rangkaian untuk aplikasi yang memerlukan lebar jalur berprestasi tinggi dan hebat.
Ia didatangkan dengan perkhidmatan tiga serangkai iaitu Internet berkelajuan tinggi, video (televisyen protokol Internet (IPTV) dan video atas perkhidmatan (VoD)) dan telefon.
Untuk pelanggan kediaman, pakej dan harganya adalah:
  • RM149 untuk 5Mbps,
  • RM199 bagi 10Mbps
  • RM249 bagi 20Mbps sebulan.
Pelanggan UniFi  boleh menikmati 22 saluran IPTV linear secara percuma dan VoD baru yang boleh diperbaharui setiap bulan sebagai perkhidmatan nilai tambah. Saluran-saluran tersebut ditawarkan menerusi sambungan berkelajuan 8Mbps secara eksklusif dan sebagai nilai tambah kepada kelajuan data dilanggan pelanggan. Pelanggan UniFi juga tidak dikenakan sebarang caj pemasangan atau caj peralatan seperti unit gerbang kediaman, set top box dan unit rangkaian optikal yang bernilai lebih RM1,000 dan tanpa sebarang deposit.
Sementara itu, pelanggan baru dan sedia ada Streamyx Combo 4Mbps dan tidak melanggan pakej Combo hanya perlu membayar RM140 sebulan berkuatkuasa serta merta.
Ia adalah bagi menggalakkan pelanggan yang berada di kawasan UniFi untuk menarik taraf kepada perkhidmatan UniFi manakala bagi mereka yang berada di luar kawasan untuk memiliki pakej BlockBuster.
Untuk pelanggan perniagaan, pakej UniFi didatangkan pada kelajuan sama tetapi tanpa IPTV dan VoD dengan harga pakej:
  • RM199 (5Mbps),
  • RM599 (10Mbps)
  • RM899 (20Mbps).
Bergerak ke hadapan, pelanggan UniFi boleh menikmati pelbagai perkhidmatan dan aplikasi pihak ketiga termasuk telecommuting, keselamatan dan pemantauan saluran interaktif dan sebagainya. Pelanggan UniFi di empat kawasan awal Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar boleh mendaftar di laman web www.tm.com.my atau datang ke premis kawasan berhampiran kawasan tersebut.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai UniFi boleh hubungi 1 300 88 1222 atau email kepada enquiry@unifi.com.
Artikel disunting daripada sumber: Utusan Malaysia, 25 Mac 2010

INTERNET, SEJARAH DAN FEADAHNYA

INTERNET merupakan rangkaian komputer-komputer yang sebelum ini digunakan oleh para penyelidik dan saintis untuk berkongsi maklumat yang kemudiannya berkembang menjadi alat paling penting dalam kehidupan manusia masa kini.
Seperti diketahui Internet yang dikenali juga sebagai `Dunia Tanpa Sempadan' boleh membawa `dunia' kepada anda dengan hanya berada di hadapan komputer di rumah, pejabat atau sekolah.
Sejarah Internet sebenarnya telah bermula sejak 1960an lagi apabila rangkaian komputer telah diwujudkan oleh para penyelidik ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang ingin mewujudkan hubungan jika saluran komunikasi biasa bermasalah.
Projek tersebut bermula dengan penubuhan sebuah agensi dikenali sebagai Advanced Research Projects Agency (ARPA) yang kemudiannya membina rangkaian dikenali sebagai ARPANET pada 1969.
Teknologi rangkaian itu kemudiannya diperluaskan pula untuk menghubungkan universiti-universiti di Amerika bagi tujuan penyelidikan dan pertukaran maklumat.
Aplikasi mel elektronik atau e-mel yang banyak digunakan oleh kita sekarang sebenarnya telah dicipta pada tahun 1972 oleh Ray Tomlinson yang merupakan antara program Internet paling penting.
Sudah tentu e-mel merupakan alat komunikasi paling penting kepada manusia masa kini memandangkan ia membolehkan kita menghantar surat atau dokumen kepada penerima di seluruh dunia dalam masa beberapa minit sahaja.
Internet seterusnya berkembang sehingga membentuk rangkaian dikenali sebagai World Wide Web (WWW) pada 1990 yang menghubungkan masyarakat pakar fizik antarabangsa ketika itu.
Sistem WWW ini membolehkan suara, gambar, muzik dan filem diletakkan ke dalam rangkaian Internet yang menjadikan ia lebih menarik. WWW kemudiannya diperkenalkan kepada umum pada 1992.
Di Malaysia, Internet telah diperkenalkan secara komersial dengan pelancaran Jaring pada 1991 selepas penyelidikan dijalankan oleh universiti-universiti tempatan.
Universiti-universiti tempatan telah menjadi pengguna terawal Rangkaian Komputer Malaysia (RangKom) yang bermula pada 1987 sebelum ia diperkenalkan kepada masyarakat negara ini melalui Jaring yang dikendalikan oleh MIMOS Berhad.
Di Malaysia kini, Jaring dan TMnet merupakan syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP) yang terkenal di kalangan pengguna biasa, selain daripada pengguna syarikat yang turut ditawarkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi tempatan.
Internet seterusnya semakin popular di negara ini dan menurut IDC Malaysia, Malaysia mencatatkan bilangan pengguna Internet sebanyak 4.8 juta pada tahun lepas.
Populariti Internet di negara ini adalah disebabkan ia sememangnya alat atau medium komunikasi, pembelajaran, hiburan dan perniagaan yang membawa perubahan besar dalam kehidupan kita.
Bagi para pelajar dan pendidik misalnya, penggunaan Internet akan memudahkan mereka mendapatkan bahan-bahan pembelajaran termasuk untuk tugasan sekolah.
Aplikasi seperti e-mel, pembelajaran dalam talian seperti yang ditawarkan Portal Pendidikan Utusan, perpustakaan digital dan sebagainya hanya boleh diperkenalkan melalui Internet.
Seorang pelajar kini boleh melayari beribu-ribu perpustakaan digital di seluruh dunia dalam mendapatkan maklumat mengenai pembelajaran mereka dengan hanya perlu duduk di hadapan komputer.
Cara mengakses Internet sangat mudah iaitu pelajar hanya perlu menyambungkan komputer dengan talian telefon dan kemudiannya mendail kepada talian syarikat Internet yang telah dilanggan mereka.
Jika berada di sekolah, kebiasaannya talian akses Internet telah disediakan dan pelajar hanya perlu membuka program perisian pelayar seperti Internet Explorer untuk memasuki Internet.
Pengguna kemudiannya boleh terus mengunjungi laman web yang diingini dengan menaip alamat Internet seperti www.utusan.com.my bagi mendapatkan berita-berita dari akhbar Utusan Malaysia.
Maklumat berbentuk fakta, gambar, berita dan sebagainya dari sumber yang tidak diketahui boleh juga dicari dengan mudah dengan menggunakan laman web enjin pencari seperti www.yahoo.com, www.google.com atau www.cari.com.my.
Memandangkan Internet kini turut diperluaskan untuk kegunaan perniagaan, para pengguna kini boleh juga melakukan pelbagai urusan di Internet seperti urusan perbankan, kerajaan, pembayaran bil dan sebagainya dengan mengunjungi laman web e-dagang syarikat-syarikat berkenaan.
Disebabkan konsep Internet yang menekankan kepada konsep kebebasan, para pelajar dan pengguna harus bijak menggunakannya agar tidak terpengaruh untuk mengunjungi laman-laman web yang terlarang dan tidak berfaedah.
Sumber: Majalah Estidotmy

TIPS BELAJAR UNTUK PELAJAR


Peperiksaan Merupakan Proses Bagi Menilai Sejauhmana Kefahaman Pelajar Terhadap Pelajaran Yang Telah Dipelajari
Belajar Untuk Belajar
-Jangan Takut Pada Peperiksaan
-Semua Orang Perlu Menduduki Peperiksaan
-Sebenarnya, Kejayaan Dalam Peperiksaan Bergantung Kepada Rajin Dan Cara Belajar.
Kenal Pasti Cara Belajar
-Anda Perlu Memilih Masa Untuk Belajar@Mengulangkaji
-Berikan Tumpuan Kepada Semua Mata Pelajaran
-Disiplin Diri Anda, Lawan Kehendak Yang Negatif.
Follow up:
Teknik Belajar
-Jika Di Amalkan Secara Disiplin Akan Menjadikan Anda Seorang Pelajar Yang Bertanggung Jawab.
-Jika Anda Dapat Merancang Teknik Belajar Yang Berkesan Ia Akan Menghasilkan Sesuatu Yang Positif.
Sikap Di Dalam Kelas
-Pelajar Yang Berjaya,Adalah Mereka Yang Berkelakuan Baik Di Dalam Kelas, Terutama Semasa Cikgu Mengajar.
-Mereka Memberi Tumpuan Dan Tidak Menjadi Virus Kepada Orang Lain.
Masa Dalam Kelas Sangat Penting
-Tumpukan Sepenuh Perhatian Kepada Penerangan Guru.
-Sekiranya Guru Membuka Perbincangan Dalam Kelas, Ambil Bahagian.
-Kemukakan Masalah Terhadap Apa Yang Anda Tidak Faham
Buat Persediaan Sebelum Masuk Ke Kelas
-Baca Buku Sebelah Malam,Kerana Ia Akan Memudahkan Anda Memahami Apa Yang Di Terangkan Oleh Guru.
-Baca Bahan Bacaan Tambahan,Seperti Majalah Atau Bahan Dari Internet.
Bina Keyakinan Diri Semasa Didalam Kelas
-Kenalkan Diri Anda Dengan Guru
-Bersedia Untuk Mempelajari Sesuatu Subjek Itu.
-Jangan Lupa Bawa Buku Teks
-Bawa Buku Catatan Semasa Di Dalam Kelas.
-Buat Semua Tugasan Yang Di Berikan Oleh Guru Anda
Mendengar Secara Berkesan
-Mendengar Dan Memberi Perhatian Memudahkan Anda Mengingat Kembali Apabila Membuat Ulangkaji.
-Fokus Kepada Apa Yang Di Sampaikan Oleh Guru Anda
-Jangan Berangan-Angan Dalam Kelas.
Belajar Merancang Masa
-Jangan Pilih Mata Pelajaran Yang Di Gemari Sahaja.
-Jangan Habiskan Waktu Dengan Menonton Televisyen.
-Buat Jadual Belajar Yang Padan Dengan Kemampuan Anda.
Buat Jadual Waktu Belajar
-Cuba Kenalpasti Pelajaran Apa Yang Anda Lemah.
-Pastikan Setiap Hari Anda Belajar, Sekurang-Kurangnya Satu Jam Untuk Setiap Pelajaran. Dan Dalam Masa Seminggu Semua Anda Telah Pelajari/Buat Latihan
Bosan,Bosan Apa Ubat Nya
-Cuba Tanya Diri Anda, Mengapa Sering Rasa Bosan.
-Lawan Diri Anda Atasi Bosan.
-Jika Ada Masalah Peribadi Cepat-Cepat Selesaikan.
-Tanya Mengapa Anda Perlu Belajar.Untuk Motivasikan Diri Anda.
Strategi Ulangkaji
-Mulakan Ulangkaji Awal-Awal Lagi.
-Punca Malas Belajar Kerana Kita Tidak Faham
-Baca Berulang Kali, Baca Semua Buku Dan Baca Nota.
-Bincang Dengan Rakan-Rakan
Teknik Membaca
-Berlatih Baca Dengan Pantas, Supaya Anda Boleh Baca Berulang Kali.
-Catatkan Masa Yang Anda Ambil Untuk Membaca Sesuatu Topik.
Buat Nota Dengan Baik
-Buat Nota Atau Ambil Nota Di Dalam Kelas Secara Teratur.
-Tulis Nota Anda Supaya, Anda Minat Untuk Membacanya.
-Gunakan Pen Penanda Untuk Ayat Dan Perkataan Penting.
-Buat Nota Berasaskan Tajuk Dan Rajah Untuk Mudah Faham.
Manfaatkan Bahan Rujukan
-Gunakan Bahan Rujukan Lain Untuk Membantu Kefahaman Anda,Gunakan Kamus,Ensiklopedia Sains,Tata Bahasa Dewan, Ensiklopedia Britannica.
-Kamus Inggeris-Melayu Dewan

04 Julai, 2012

Kenapa lapisan ozon penting..


Kenapa Lapisan Ozon Penting ?
Selain mengawal peredaran suhu di dalam atmosfera, lapisan ozon juga sebenarnya mempunyai kepentingan menyerap radiasi sinaran ultra ungu (UV) yang tinggi daripada matahari sebelum sampai ke permukaan bumi.
Ini kerana, pancaran berbentuk UV spektrum ini sebenarnya mempunyai jarak gelombang yang lebih pendek daripada cahaya nyata atau cahaya nampak iaitu di antara 280 hingga 315 nanometer (nm) boleh merosakan hampir semua kehidupan. 
Kajian saintis mendapati, ketika ini lapisan ozon semakin mengalami kerosakan dan menipis kesan penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) secara tidak terkawal.
Gas CFC boleh terhasil daripada pelbagai cara  seperti  penggunaan peti sejuk, bahan peyembur, bahan pelarut, produk berasaskan polisterin dan juga perindustrian perkilangan.
Masalah penipisan lapisan ozon yang semakin meruncing ini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak terutamanya persatuan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)
Selain itu, penduduk dunia juga kini telah mula memandang serius masalah tersebut dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dalam usaha memastikan generasi masa depan dapat mewarisi alam sekitar yang selamat.
Sumber maklumat:
Estidotmy, Edisi 95.

Wi-Fi


Wi-Fi merupakan singkatan bagi Wireless Fidelity dimana istilah ini telah diberikan secara rasmi oleh WECA(Wireless Ethernet Compatibility Alliance).

Wi-Fi mula diperkenalkan menerusi produk-produk tanpawayar pada penghujung tahun 1998. Penggunaan Wi-Fi adalah merujuk kepada sistem rangkaian pautan tanpa wayar yang menggunakan hubungan jalurlebar(broadband), titik capaian (access point) dan kad Wi-Fi yang diinstalasi di dalam komputer bagi membolehkan pengguna berkongsi fail dan pencetak serta melayari internet sama seperti rangkaian LAN biasa.
Titik capaian (access point) adalah merujuk kepada satu peranti elektronik kecil yang bertindak sebagaipenghubung dengan kad Wi-Fi yang diinstalasi di dalam komputer pengguna bagi membolehkan perpindahan data berlaku. Menerusi spefikasi 802.11 di antara sumber jalurlebar seperti DSL atau kabel dengan komputer tersebut.802.11 pula merujuk kepada spefikasi teknikal keluarga pautan tanpa wayar LAN yang diberikan oleh IEEE (Institute of Electrical and Electronic Engineers).
Teknologi Wi-Fi dikatakan tergolong dalam spesifikasi 802.11b yang membolehkan perpindahan data berlaku dalam kelajuan sehingga 11Mbps di dalam jalur 2.4 GHz. Sementara itu, teknologi 802.11a pula adalah lanjutan kepada teknologi 802.11b di mana teknologinya lebih pantas. Teknologi 802.11a membenarkanperpindahan data berlaku dalam kelajuan sehingga 54 Mbps di dalam jalur 5 GHz. Teknologi ini juga dikenali sebagai Wi-Fi5 atau WECA.
Ethernet merupakan senibina LAN yang telah dibangunkan oleh Xerox Corp dan ianya merupakan kad antaramuka rangkaian yang digunakan dalam rangkaian LAN biasa. Sedangkan Wi-Fi pula adalah merupakan senibina LAN yang digunakan dalam persekitaran tanpa wayar. Ringkasnya ethernet digunakan dalam rangkaian LAN yang berwayar (menggunakan kabel seperti CAT5 untuk dihubungkan ke jalur lebar) manakala Wi-Fi pula digunakan dalam rangkaian LAN tanpa wayar(menggunakan kad Wi-Fi dan dihubungkan ke titik capaian seterusnya akan menghubungkan ke jalur lebar).

LAN adalah merujuk kepada rangkaian komputer bagi kawasan setempat di mana setiap komputerdihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan wayar. WLAN pula adalah merujuk kepada rangkaian komputer bagi kawasan setempat di mana setiap komputer dihubungkan antara satu sama lain tanpa menggunakan wayar. Konsep WLAN adalah sama dengan LAN misalnya dari segi penggunaan pelayan dan sistem pentadbiran.

Bezanya cuma dari segi medium iaitu WLAN menggunakan gelombang radio manakala LAN menggunakan kabel untuk mentransmisikan data.

1Murid 1 Sukan


Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. 
Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia.
Dasar 1 M 1 S berhasrat untuk:

1. Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.

2. Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
Dasar 1 M1 S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut:

1. Meningkatkan kecergasan jasmani.

2. Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni.

3. Memupuk perpaduan di antara kaum.

4. Membentuk budaya sukan di kalangan murid.

5. Memenuhi naluri semulajadi murid dalam aktiviti fizikal.

6. Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal.

7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.


Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Konsep Dasar 1 M 1S  diwujudkan untuk menyokong FPK agar dapat:

1. Memberi akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.

2. Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah.

3. Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.
Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut:

1. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.

2. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah;.

3. Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berkualiti di sekolah. Segala sumber untuk mata pelajaran pendidikan jasmani hendaklah diguna sama bagi 1M 1S.

4. Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti su kan.

5. Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada perkembangan Intelek Rohani, Jasmani, dan Emosi murid.

6. Ibu bapa dan agensi luar rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah.

7. Setiap sekolah yang sudah pun mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.
Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan 1M 1S, setiap sekolah mempunyai pendekatan dalam melaksanakan program sukan mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Dengan itu, pelaksanaan 1M 1 S adalah berdasarkan kepada pendekatan berikut:

1. Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan mengambil bahagian secara aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.

2. Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan tahunan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.

3. Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah, dorm asrama, kelab sukan sekolah.
Penyertaan murid dalam kejohanan MSSD/MSSN/MSSM serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1M1S.

Penilaian murid adalah berdasarkan kepada sistem penilaian sedia ada yang berasaskan:

1. Kehadiran;

2. Jawatan Serta Sumbangan;

3. Penglibatan; dan

4. Pencapaian.
Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa untuk murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 1 mulai tahun 2012.
‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’
Sumber: Kementerian Pelajaran

03 Julai, 2012

Kepentingan belajar Bahasa Arab



Bahasa Arab begitu dekat di hati umat Melayu dan hampir 1,700 patah perkataan Arab telah diterimapakai di dalam bahasa Melayu sejak awal kedatangan Islam di dunia nusantara. Bahasa Arab sudah sebati dan menjadi darah daging umat Islam dulu, kini dan selamanya di mana hampir setiap hari mereka akan mendengar dan bertutur di dalam bahasa Arab tanpa disedari. Buktinya ialah setiap hari kita diwajibkan bersembahyang yang mana bacaan dan doa di dalamnya adalah di dalam bahasa Arab manakala kita juga akan mendengar laungan azan dan iqamat setiap kali tibanya waktu sembahyang yang juga di dalam bahasa Arab.

Lebih unik lagi bagi umat Islam, perkataan pertama yang didengar sejurus selepas dilahirkan ke dunia ialah azan dan iqamat yang menandakan kecintaan kita terhadap bahasa Arab telah diterap sejak masih bayi lagi. Kajian Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada tahun 1984 mendapati bahawa selain perkataan Arab yang diserap ke dalam bahasa Melayu, tulisan Arab juga diambil secara keseluruhan dan dijadikan tulisan bahasa Melayu. Ketinggian dan keistimewaan bahasa ini telah diakui dan dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographer) Barat. Bahasa Arab dianggap sebagai bahasa yang telah lama mempengaruhi iklim bahasa dunia dan membantu kepada perkembangan tamadun manusia serta menjadi dinamo yang telah berjaya merubah dan membentuk keperibadian struktur sesebuah negara bangsa.

Kitab al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia juga adalah di dalam bahasa Arab dan seluruh umat Islam digalakkan membaca, memahami, menghafal, mengikuti segala ajaran dan melaksana serta menterjemahkan segala panduan di dalam kehidupan seharian. Membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berdailog dan berkomunikasi dengan Allah s.w.t secara live, satu pengalaman yang amat unik dan perlu dijadikan amalan harian umat Islam. Realiti ini menjadikan bahasa Arab mampu melonjak corak dan tahap pemikiran manusia yang lebih holistik, komprehensif dan membentuk satu anjakan paradigma ke arah menjadi individu yang versatil dalam menangani suvival semasa umat Islam.

Dengan menguasai bahasa Arab juga akan memudahkan kita mendalami intipati dan pengertian al-Quran, hadis Rasulullah dan kitab-kitab muktabar para ulama silam yang kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Kemahiran bahasa Arab juga membolehkan kita memahami maksud setiap bacaan di dalam sembahyang, doa-doa, wirid, zikir dan sebagainya di mana sebahagian besar umat Islam tidak tahu pengertiannya walaupun sudah berpuluh tahun mengamalnya hatta ada yang tidak tahu pengertian doa iftitah danqunud yang dibaca setiap hari dalam sembahyang. Kejahilan dan kelemahan umat Islam mendalami bahasa Arab akan hanya mewujudkan sebuah masyarakat tidak kreatif, kurang dinamik dan pak turut yang hanya menuturkan sesuatu yang tidak difahami seumpama burung kakak tua yang bijak berbicara. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mencari jalan memahami dan mendalami bahasa al-quran ini sebaik mungkin.

Bahasa Arab adalah bahasa umat Islam dan bahasa syurga. Dengan jumlah umat Islam yang kini mencecah 1.6 bilion orang di seluruh dunia, membuktikan bahasa ini diucapkan setiap hari di dalam amalan ritual dan muamalah umat Islam secara global. Kebolehan berbahasa Arab membolehkan kita berkomunikasi dengan saudara seislam di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Arab dan dapat mengenali mereka secara lebih dekat serta mengikat silatulrahim sesama umat Islam. Dalam konteks dunia Melayu pula, bahasa Arab digunakan secara meluas sejak awal kedatangan Islam dan kemuncaknya ialah pada era kegemilangan Kerajaan Melaka sehinggalah ke hari ini di mana bahasa ini digunakan di dalam pelbagai aspek dari sudut ekonomi, sosial, politik, diplomatik hatta di dalam amalan mistik dan jampi serapah pun bahasa Arab banyak digunakan terutamanya di dalam perubatan tradisional dan alternatif.

Bahasa Arab juga mempunyai nilai komersial yang tinggi dan berdaya saing serta mampu menandingi bahasa dunia lain seperti bahasa Inggeris, Perancis, Rusia dan sebagainya. Nilai ekonomi yang terdapat pada bahasa Arab membolehkannya diiktiraf sebagai salah satu bahasa utama dan terpenting di dunia serta telah menarik ramai orang mempelajarinya. Bagi umat Islam, bahasa Arab adalah bahasa perpaduan dan penyatuan. Walaupun tidak semua negara Islam menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, namun begitu bahasa Arab tetap memainkan peranan penting di dalam sistem pemerintahan negara dan struktur masyarakat terutamanya di kalangan negara anggota OIC. Melalui medium bahasa Arab juga negara Islam diseluruh dunia dapat mewujudkan kerjasama dan perkongsian ekonomi, teknologi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya secara yang lebih akomodatif dan progresif bagi mendepani segala anasir-anasir negatif yang boleh mengganggu-gugat kestabilan Islam.

Inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran memperkenalkan program J-QAF iaitu sistem pendidikan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan Jawi secara yang lebih efektif di sekolah-sekolah rendah mampu memperkasakan penguasaan dan kemahiran bahasa Arab di kalangan rakyat Malaysia, di samping program bahasa Arab yang turut disediakan di peringkat sekolah menengah dan yang lebih tinggi hampir semua institusi pengajian tinggi di seluruh negara adalah momentum positif kepada bahasa syurga ini. Pemikir Islam terkenal, Hassan al-Banna pernah berpesan di dalam wasiat sepuluhnya yang berbunyi " Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam".

RUJUKAN:

Zamri Mohamad, 2003. Bahasa Arab, Bahasa Syurga Yang Mempengaruhi Dunia. Utusan Malaysia, 10 Jun

"Menghayati Sejarah Tulisan Bahasa Arab dan Tulisan Jawi", Utusan Malaysia, 2 Mac 2006